Tuesday, 6 July 2010

Perkembangan bahasa kanak-kanak

Artikel dipetik dari ruangan Ratu, Berita Harian bertarikh 6 Julai 2010

Menerusi laman web Scribd berkongsi maklumat mengenai perkembangan bahasa kanak-kanak. Rujukan yang didapati dari Michael Tomasello menerusi Tomasello & Carpenter 2007, perilaku melihat perkembangan bahasa tidak lagi dianggap sebagai penjelasan yang layak bagaimana si kecil memperoleh bahasa. Namun, banyak kajian menggambarkan persekitaran mempengaruhi kemampuan bahasa kanak-kanak. Micheal menekankan bahawa anak muda tertarik dalam dunia sosial mereka dan pada awal perkembangan, mereka dapat memahami niat orang lain. Ia membabitkan banyak perkembangan lain iaitu perkembangan phonologi, semantik, tatabahasa dan juga pragmatik.

Kanak-kanak yang dapat belajar bahasa Inggeris pada peringkat awal usia akan mempunyai sebutan yang lebih baik di samping dapat menjiwai bahasa Inggeris seperti mana kita menjiwai bahasa ibunda kita. Jika kanak-kanak dibesarkan dengan hanya satu bahasa sehingga ke peringkat mampu menyedari kesilapan bahasa, keupayaannya untuk menangkap bahasa asing atau bahasa kedua akan hilang. Secara tidak langsung mereka akan berasakan bahawa perlunya belajar bahasa asing, misalnya bahasa Inggeris dengan betul dan tepat melalui program bahasa Inggeris yang menekankan soal tatabahasa.

Menurut hasil kajian yang dipaparkan menerusi laman web darwishndarwisya, kanak-kanak lebih mudah mempelajari bahasa daripada orang dewasa. Paling mudah pada umur 0 hingga 6 tahun. Lebih awal dalam julat umur ini, lebih banyak kekuatannya pada pusat otak yang menjaga bahasa.

Kanak-kanak pada peringkat awal usia mempunyai masa yang lebih banyak untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam program hariannya (tidak seperti kanak-kanak yang masuk ke alam persekolahan). Kotak pemikiran mereka juga masih belum ‘penuh’ dengan perkara lain, menjadikan mereka lebih mudah menyerap perkara baru.

Justeru itu, ibu bapa perlu bijak mengatur dan mempelajari corak pembelajaran kanak-kanak dari peringkat kecil lagi supaya mereka tidak kekok dengan bahasa asing. Tiga tahap untuk belajar bahasa Inggeris disediakan di bawah sebagai panduan ibu bapa mengenalpasti cara terbaik si kecil mempelajari bahasa berkenaan.

Tahap untuk belajar bahasa Inggeris (dari My-Rummy.com)

1. Pembelajaran ketika dalam tempoh masa senyap (silent period)

Jangan paksa kanak-kanak untuk mengambil bahagian dalam komunikasi atau berdialog sebaliknya ketika orang dewasa bercakap ia dapat memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menangkap atau belajar bahasa Inggeris yang baharu bagi mereka.
Biarkan anak-anak menggunakan kemahiran dan strategi tersendiri (strategi semula jadi mereka ketika belajar bahasa ibunda) untuk belajar bahasa Inggeris.

2. Mulakan bertutur
Selepas beberapa lama, bergantung kepada kekerapan sesi pembelajaran bahasa Inggeris, kanak-kanak akan mula berani menuturkan satu demi satu perkataan bahasa Inggeris (contohnya ‘cat’, ‘house’) atau mungkin sudah bersedia dan mampu membuat ayat pendek (misalnya ‘What’s that?’, ‘It’s my book, ‘I can’t’, ‘That’s a car’) dalam perbualannya.
Kanak-kanak dapat mengingati sesuatu perkataan atau ayat dan kemudian menyebut dengan sebutan yang diingati olehnya.
Keadaan itu berterusan untuk jangka masa tertentu yang cukup untuk memberi ruang kepada mereka mempelajari lebih banyak perkataan bahasa Inggeris sebelum benar-benar bersedia dan mampu membina ayat sendiri.

3. Membangunkan keupayaan berbahasa Inggeris

Kanak-kanak membina frasa ayat secara berperingkat, bermula dengan cara menghafal perkataan sehingga mereka sendiri menambah perkataan daripada kosa kata sendiri (misalnya ‘a cat’, ‘a white cat’, ‘a white and a black dog’) atau daripada satu ayat yang dihafal dan kemudian mereka menambah (misalnya ‘That’s my chair’, ‘Time to play’).
Bergantung kepada setakat mana pendedahan yang diterima dan pengalaman yang dilalui, kanak-kanak akhirnya mampu untuk mencipta dan membina satu ayat penuh yang lebih membawa makna.

No comments:

Post a Comment